"Begitu banyak dugaan menimpa diri..seperti tidak mampu lagi diri ini melalui segala dugaan..kenapa mesti aku??? dapatkah aku???..kuatkah aku untuk melalui semua ini.........." kita sering mendengar semua ini, tetapi adakah kita tahu segala hikmah disebalik setiap kejadian dan ujian yang menimpa kita...
Khalifah Umar ibn Abdul Aziz, pernah berkata "Keredaan terhadap sesuatu musibah adalah kedudukan yang tinggi. Namun, Allah menjadikan kesabaran sebagai jalan pilihan yang baik."
Muhammad ibn Idris al-Syafi'e, pula berkata Zubair ibn Ubad bercerita kepada kami daripada Sari ibn Hayyan, beliau berkata bahawa Abdul Wahid ibn Zaid berkata, "Keredaan ialah pintu Allah yang Maha Agung, syurga dunia dan lampu bagi ahli-ahli ibadah."
Kata-kata Abdul Wahid ini menjelaskan kepada kita bahawa keredaan kita terhadap setiap kurniaan Allah, suka dan duka, nikmat dan musibah, akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya dan memberikan kita kehidupan yang penuh kebahagiaan di dunia ini.
Sekiranya kita menilai kedudukan diri kita ini yang begitu daif dan kerdil selain berharap hanya kepada Allah, kita akan menginsafi bahawa kita perlu menerima segala yang diberikan oleh-Nya. Siapakah kita untuk menolaknya dan siapakah kita untuk mencari-cari kekurangan pemberian berkenaan.
Rasulullah bersabda: "Demi Zat yang diriku ada di tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya. Hal ini tidak berlaku kepada yang lain. Apabila Dia menimpakan kebaikan kepadanya, ia mensyukuri-Nya, maka hal itu membawa kebaikan kepadanya. Dan apabila Dia menimpakan penderitaan ke atasnya, ia lalu bersabar terhadapnya dan ini pun adalah baik baginya" (hadis riwayat Muslim).
Setiap perkara yang diturunkan oleh Allah sememangnya berkaitan apa yang kita lakukan. Ini termasuk musibah, iaitu sekiranya kita melakukan atau terbabit dalam perkara-perkara bertentangan dengan perintah-Nya.
Setiap ujian yang Allah timpakan ada maksud tersirat dari Tuhan yang ramai manusia tidak tahu akan hikmah di sebalik ujian tersebut. Ujian; sama ada ujian sakit, ujian miskin, ujian isteri atau suami meragam, ujian anak-anak, kena fitnah, kena hina dan sebagainya semuanya dalam kuasa Tuhan. Hakikatnya Tuhanlah yang mendatangkan ujian itu.
Ujian yang datang ada tiga peringkat atau untuk tiga golongan manusia.
Peringkat pertama:
Untuk peningkatan darjat.
Allah berikan ujian adalah kerana hendak naikkan darjat seseorang di sisi-Nya di Akhirat kelak. Ketinggian darjat di sisi Tuhan ini adalah untuk orang-orang yang taat dengan Tuhan ketika di dunia lagi. Di dunia dia banyak berbuat amal soleh, amal kebajikan tapi masih lagi Allah beri ujian yang berat kepadanya. Ini tidak lain tidak bukan ialah untuk meninggikan darjatnya di Akhirat kerana ketabahannya dan kesabarannya menghadapi ujian. Ujian seperti ini adalah untuk para rasul, para nabi, para wali dan paling rendah ialah orang soleh. Ujian paling berat kita lihat dalam sejarah seperti yang ditanggung oleh para nabi dan rasul yang mana ia sangat bersesuaian sekali dengan tingginya darjat mereka.
Peringkat kedua:
Untuk penghapusan dosa dan didikan langsung dari Tuhan.
Ujian yang diberi untuk orang-orang Islam yang berdosa. Semua orang ada membuat dosa tidak kira dosa besar atau kecil. Ini adalah kerana manusia biasa bukannya maksum iaitu terpelihara dari dosa seperti para rasul. Jika kita merasakan diri kita tidak berdosa, itu juga merupakan satu dosa.
Jadi segala ujian ini Allah berikan tidak sia-sia dan ia ada dua tujuan:
1. Penghapusan dosa Allah Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
Sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya melebihi dari kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada anaknya. Walaupun hamba-hamba-Nya telah berbuat dosa tapi masih diberi peluang untuk membersihkan dosa sebelum pulang ke pangkuan-Nya dengan jalan diberikan ujian-ujian. Kesabaran dan redha dalam menerima ujian itu akan dinilai oleh Allah sebagai penghapusan dosa.
2. Untuk ‘post-moterm’ diri
Manusia lazimnya akan mudah sedar dari kesilapannya apabila ia diuji. Terutama apabila ujian itu benar-benar memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupannya. Manusia yang telah Allah sedarkan ini akan mudah insaf dan akan sentiasa membaiki diri daripada kesalahan lalu dari masa ke semasa. Maha Suci Tuhan yang amat kasih akan hamba-Nya, walaupun telah banyak berbuat dosa tapi Allah masih beri jalan untuk menghapuskan dosa-dosa tersebut dengan cara diuji. Tetapi kita mesti faham benar akan maksud Tuhan itu. Supaya dengan itu kita dapat tabah dan redha dengan ujian Tuhan. Jika terasa berat ujian yang ditanggung, kita faham ujian itu memang sesuai dengan kita kerana telah banyak buat kesalahan dengan Tuhan atau sesama manusia. Oleh itu jika kita sedar maka kita akan berkata,
“Terima kasih Tuhan kerana sesungguhnya Engkau masih sayang lagi kepadaku. Semoga dengan ujian ini Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku yang lalu.”
Manusia apabila ditimpa musibah sebagai ujian hidupnya, dia akan mudah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan. Jika tidak dia akan mudah lupa daratan, merasa diri hebat, tidak mahu terima pandangan orang lain. Ujian ini bagi orang yang faham ialah didikan terus dari Allah SWT. Tetapi jika seseorang itu tidak tahan dengan ujian yang didatangkan, ia akan hilang pertimbangan dan tidak boleh menilai tujuan baik Tuhan dalam memberi ujian itu. Orang yang tidak redha ini biasanya disebabkan tidak faham akan ilmunya. Jika ilmu mengenai ujian itu sendiri tidak ada, bagaimana pula hendak mengamalkannya?
Peringkat ketiga:
Bala atau hukuman dari Tuhan
Diperingkat ini ujian terbahagi pula kepada dua:
1. Untuk orang-orang kafir
Ujian diturunkan untuk semua peringkat manusia bukan untuk orang Islam sahaja bahkan termasuk juga orang-orang bukan Islam. Mereka juga menghadapi musibah kesusahan, kesedihan, mala petaka seperti gempa bumi, kebakaran, kematian dan sebagainya. Tetapi oleh kerana mereka itu orang-orang yang tidak beriman maka segala ujian yang ditimpakan ke atas mereka itu tidak boleh meningkatkan diri mereka itu menjadi baik. Malah mereka menjadi semakin jahat, semakin jauh dari Tuhan. Jika mereka boleh bersabar sekalipun dengan ujian tersebut, tiada pahala dan apa-apa kebaikan Akhirat untuk mereka.
2. Untuk orang Islam
Iaitu orang-orang Islam yang sudah terlalu jahat atau terlalu zalim dan sudah tidak boleh diinsafkan lagi. Tujuan didatangkan ujian di dunia ialah kerana Tuhan hendak hukum dia di dunia lagi sebelum di Akhirat. Jika ujian yang Allah berikan di dunia itu dapat menyedarkannya, maka selamatlah dia di Akhirat kelak. Itu pun jika dia faham akan hikmah yang tersirat dalam ujian itu. Kesimpulannya jika kita diuji oleh Allah, lebih baik kita anggap diri kita dalam golongan peringkat kedua kerana golongan dalam peringkat yang pertama hanya untuk orang yang luar biasa iaitu para nabi dan rasul.. Kita anggap diri kita golongan yang banyak berdosa kepada Tuhan dan layaklah kita dihukum. Manakala
3. Untuk orang yang jahat.
Kalau selepas diuji dia bertaubat, betulkan sembahyang, berpuasa, bermaaf-maafan, bertolong bantu, insya-Allah di samping Allah mengampunkan dosa kita, Tuhan juga akan selesaikan masalah kita.
Ini sesuai dengan firman Allah bermaksud: "Apa saja nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri." (Surah al-Nisa', ayat 79)
Dalam satu ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran)" (Surah al-A'raf, ayat 168).
Di samping itu, musibah yang diturunkan oleh Allah juga untuk menguji tahap kesabaran, tingkat kesyukuran selain mengukuhkan keimanan seseorang, khususnya bagi hamba-Nya yang beriman.
Daripada satu aspek, musibah yang ditimpakan Allah juga adalah rahmat yang besar bagi hamba-Nya yang mukmin ini, iaitu untuk membersihkan diri, bertaubat kepada Allah dan menyesali segala kesilapan yang telah dilakukan.
Maha BesarMU Ya Allah...hanya padaMU tempat kami meminta pertolongan dan hanya padaMU lah kami berserah...ampunkan dosa2 kami,kuatkan kami menghadapi segala ujianMU dan jadikanlah kami hamba2MU yang beriman dan selamatkan kami didunia dan akhirat..aminnnn...aminnnn...aminnn ya rabbal a'lamin..
Wallahu'alam...